Ahad, 27 Mei 2012

Pembelian Secara Online

Assalamualaikum dan Salam Pengguna Dedikasi :)


Pembelian secara online ialah pembelian yang tidak memerlukan perjumpaan antara penjual dan pembeli, mereka hanya perlu kenal di alam maya dan melakukan "trading" secara online. Banyak faedah dan keburukan jika anda membuat pembelian secara online.

Antaranya ialah, anda akan mudah ditipu oleh penjual. Contohnya anda sudah memindahkan duit anda ke akaun penjual, tetapi barangan tidak pernah sampai di rumah anda. Kes ini banyak berlaku kepada semua pengguna yang membuat keputusan melulu dan tidak meneliti identiti penjual.

Selain itu, penipuan juga boleh berlaku dan hanya segilintir yang ada bukti yang diperlukan untuk membuat laporan. Contoh penipuan yang dilakukan ialah , penjual memberitahu kepada pembeli bahawa dia telah menhantar barangan yang dipesan tetapi barangan itu tidak pernah tiba di rumah pelanggannya. Masalah ini amat rumit untuk diselesaikan.

Faedahnya pula, anda tidak perlu membazir masa untuk membeli barangan tersebut, pembelian boleh dibuat di dalam rumah sahaja. Cepat, mudah tetapi berisiko tinggi. Anda juga tidak perlu menggunakan tenaga dan serta menjimat duit. Contohnya jika anda ingin pergi membeli di bandar, anda mungkin memerlukan sekitar RM10-RM30 untuk membayar kos minyak kereta pergi dan pulang.

Jika anda pengguna yang bijak, sila simpan perkara yang boleh dijadikan bukti untuk pembelian anda secara online, jadi tidaklah bersusah payah untuk anda selesaikan kes penipuan. Anda boleh membuat aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.kpdnkk.gov.my.

P/S : Jadilah pengguna yang berhelah dan jangan biarkan orang mengambil kesempatan ke atas diri anda. Fikir dan teliti sebelum membuat sesuatu dan jangan membuat keputusan secara melulu. Belilah barangan dari pihak yang boleh dipercayai !

Sabtu, 26 Mei 2012

Cara-Cara Menyimpan Wang

Assalamualaikum dan Salam Pengguna Dedikasi :)

Manusia mempunyai akal dan bermakna kesemua manusia boleh berjaya, tetapi kenapa sesetengah dari mereka tidak. Malah ramai yang mempunyai masa depan yang cerah tetapi ada juga yang mempunyai masa depan yang tidak cerah. Salah satu sebabnya ialah dari segi kewangan. Kebanyakan penduduk kampung mengalami masalah kewangan dan tidak mampu untuk menanggung kos yuran sekolah atau membeli buku rujukan. Jadi, untuk sesetiap pelajar yang inginkan kejayaan mestilah mencari ikhtiarnya sendiri.

Pelajar hendaklah melakukan sesuatu yang dapat menjaminkan masa depan mereka. Di samping itu, mereka tidaklah membebankan ibu bapa mereka. Ada beberapa cara untuk menangani dan meringankan lagi masalah ini. Sila rujuk dibawah :

☺ Menabung

Menabung amat bagus untuk para pelajar. Amalkanlah sikap menabung sejak kecil lagi supaya anda boleh menggunakan duit itu jika diperlukan. Bagi yang bersekolah, ambillah 1/3 daripada duit saku anda untuk dimasukkan ke dalam tabung. Ada juga bank yang menyediakan tabung percuma bagi setiap pelanggannya. Tabung boleh dibuat sendiri dan boleh juga dibeli di kedai. "Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit".


Khamis, 24 Mei 2012

Dana Kecemasan

Assalamualaikum dan Salam Pengguna Dedikasi :)


Hari ini saya terjumpa satu post dalam sesebuah blog yang menceritakan definisi dana kecemasan , saya pasti ramai orang di luar sana masih tidak tahu akan apa yang dimaksudkan oleh dana kecemasan. Saya akan ceritakan serba sedikit tentang dana kecemasan di sini dan berharap semua pengunjung di sini akan tahu apa itu Dana Kecemasan



Dana Kecemasan


Dana kecemasan ialah sebuah dana yang anda buat bagi menampung perbelanjaan secara mendadak dan tidak dijangka. Contohnya :

Tayar kereta anda tiba-tiba bocor di tengah jalan, jadi anda memerlukan duit untuk menggantikan yang baru. Ini bermaksud kita amat memerlukan dana kecemasan.


Cara menyimpan duit di dalam dana kecemasan


Ramai yang tertanya-tanya, macam mana mereka boleh membuat dana kecemasan sendiri jika mereka tidak mendapat pendapatan yang mencukupi. Ini senang sahaja, banyak cara yang anda boleh guna untuk mendapatkan duit bagi dana kecemasan.

  • Selesaikan pembiayaan peribadi terlebih dahulu

  • Menjadi pengguna yang bijak menguruskan wang

  • Membahagikan duit untuk perbelanjaan setiap bulan

  • Membeli sesuatu yang perlu dibayar setiap bulan seperti "Astro", "Internet" atas kemampuan diri


Beberapa tips di atas amat berguna pagi pengguna yang ingin membuat dana kecemasannya sendiri. Beringatlah " Sediakan Payung Sebelum Hujan " dan juga " Apabila Hujan, Ia Akan Turun Dengan Lebat "


Dimana perlu menyimpan dana kecemasan


Pengguna yang bijak disaran menggunakan satu sahaja akaun untuk menyimpan duit bagi dana kecemasan supaya mudah untuk dibahagi dengan duit peribadi. Dengan satu akaun, penyimpanan anda akan berjalan dengan lancar dan teratur, anda juga tidak pening akan akaun yang mana telah anda menyimpan duit tersebut. Setakat ini sahaja entri pasal dana kecemasan, harap pengguna yang datang bertandang di sini dapat memanfaatkan isi-isi penting di dalam entri ini.

Selasa, 22 Mei 2012

Kepentingan Masyarakat "Celik Wang"

Assalamualaikum dan Salam Pengguna Dedikasi :)


Mungkin ramai di kalangan masyarakat sudah tahu kepentingan masyarakat "Celik Wang". Tetapi tidak kesemuanya tahu, jadi pada hari ini saya akan menerangkan kepentingan dan manfaatnya kepada negara, masyarakat mahupun diri sendiri.

Pada zaman modenisasi ini, pengguna memerlukan wang secukupnya untuk terus hidup dengan bahagia dan berjaya dalam perniagaan. Tidak lupa juga bahawa saingan merupakan faktor utama bagi peniaga-peniaga di Malaysia, Jadi kita haruslah mengetahui selok-belok perniagaan dan menjadi pengguna yang "Celik Wang" untuk menghadapi masalah tersebut.

Selepas itu, jika negara kita mempunyai ramai masyarakat yang celik wang, sudah tentu taraf ekonomi negara akan meningkat. Ini akan dapat menangani masalah mengemis dan lain-lain lagi jika ekonomi negara meningkat. Secara tidak langsung nilai wang juga akan meningkat. Ini dapat memudahkan penduduk tempatan jika melancong di negara yang mempunyai mata wang lebih rendah berbanding Malaysia.

Selain itu, pengguna yang "Celik Wang" akan selalu mendapati hidup mereka aman dan selesa. Kebanyakan masyarakat terpaksa berhutang kerana tidak mempunyai wang secukupnya untuk membiayai sesuatu perkara. Hidup yang aman akan melahirkan generasi yang bijak pandai.

Di samping itu, ini juga dapat memberi manfaat kepada jiran tetangga. Kita dapat membantu mereka menangani masalah berkaitan WANG. Sementara membantu mereka, hubungan silaturahim akan terjalin malah akan menjadi lebih erat lagi :] .

Akhir sekali, jelas sekali menunjukkan bahawa melahirkan masyarakat "Celik Wang" amat penting untuk semua generasi masyarakat.

P/S: Buatlah Pilihan Yang Terbaik ! Dan Jadilah Pengguna "CELIK WANG"

Ahad, 20 Mei 2012

Pengenalan Awal "CELIK WANG"

Assalamualaikum dan Salam Pengguna Dedikasi :)


Gambar Hiasan dari GOOGLE

Hari ini saya ingin memberitahukan beberapa sebab kenapa perlunya kita memberi pengenalan awal kepada Generasi-generasi muda. Contohnya mengajar dan mendidik kanak-kanak supaya gemar menabung, atau mengajar mereka untuk menghargai wang walaupun satu sen. Sesetengah pengguna malu untuk mengajar anak mereka menyayangi wang kerana takut digelar "matrealistik".

Terdapat beberapa sebab kenapa perlunya pengenalan awal celik wang kepada generasi-generasi muda, antaranya adalah seperti , kanak-kanak akan menghargai wang walaupun satu syiling. Bab kata pepatah "sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit". Tidak mustahil duit syiling itu dapat menjadi ratus-ratus wang ringgit.

Sebab kedua ialah, kanak-kanak juga akan berasa bersalah untuk membelanjakan wang ringgit semata-mata ingin membeli barangan yang tidak berfaedah seperti gula-gula, aiskrim dan lain-lain lagi. Ini juga dapat membuka peluang bagi kanak-kanak untung menabung, contohnya mereka ada lagi baki wang persekolahan untuk disimpan ke dalam tabung.

Selain itu, sudah tentu dengan menabung akan mencerahkan lagi masa depan, seperti apa yang saya katakan di dalam entri sebelum ini. Masa depan menjamin seluruh hidup kita, jika kita hidup dalam keadaan "daif" semuanya akan menjadi susah. Susah yang dimaksudkan ialah susah untuk meluangkan masa bersama keluarga, susah untuk membeli peralatan sekolah seperti buku nota, latihan dan juga rujukan.

Setakat ini sahaja entri saya pada hari ini. Sentiasa beringat, duit memanglah tidak boleh dibawa ke dalam kubur akan TETAPI , wang dapat mendorong kita melakukan sesuatu untuk "Bekalan" ke hari akhirat. Ingat, kita haruslah menjadi pengguna yang bijak menguruskan wang tidak mengira umur atau darjat.

Khamis, 3 Mei 2012

Tentang "WANG"

Assalamualaikum dan Salam Pengguna Dedikasi :)

Wang ialah suatu benda yang kita gunakan untuk berjual beli. Wang menjadi salah satu aset terpenting bagi sesebuah kehidupan masyarakat. Tanpanya, banyak masalah yang kita semua akan hadapi. Contohnya pada zaman dahulu, manusia mengamalkan sistem barter kerana belum lagi mengenali nilai mata wang. Sistem barter ialah suatu sistem yang berlaku apabila dua pihak ingin menukarkan barangan mereka dengan persetujuan dua belah pihak. Contohnya Ali ingin menukarkan seekor itik dengan seekor ayam Pak Samad. Jika Pak Samad menyesetujui untuk menukarkannya, maka sistem barter akan berlaku.

Wang juga dapat membuatkan sesebuah negara membangun dengan pesat. Contohnya negara Malaysia membuat banyak tempat pelancongan yang menarik untuk menambahkan lagi pendapatan negara bagi menaikkan ekonomi negara. Wang amat penting bagi manusia, setiap manusia memerlukan wang untuk memenuhi kehendak dan keperluan.

Kehendak : Menginginkan sesuatu bagi menyempurnakan kehidupan seharian contohnya pendingin hawa.

Keperluan : Keperluan asas bagi manusia contohnya rumah, pakaian, makanan dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun, manusia sentiasa tidak menyedari bahawa mereka telah banyak membazir wang dalam kegunaan seharian. Contohnya mereka membeli barangan yang sepatutnya tidak perlu dibeli. Dengan ini, kita perlu menyelami lagi cara-cara untuk membelanjakan wang dengan baik. Kebanyakan kanak-kanak di Malaysia mengamalkan sifat menabung sejak dari kecil. Menabung merupakan salah satu daripada cara-cara untuk seseorang itu mendapat masa depan yang cerah.

Akhir sekali, wang ialah benda yang amat penting bagi setiap individu. Pada pendapat saya, kebanyakan orang kaya banyak membazirkan wang mereka dari orang yang miskin. Mungkin sekali mereka tidak menghargai wang yang mereka ada, ini salah satu sikap yang tidak baik. Wang boleh pergi dengan senang sahaja, kita mesti bijak mengurusnya. Jadilah "MASYARAKAT CELIK WANG".

[Close]